Abu al-Rayhan al-Biruni (973-1048) merupakan cendiakawan yang amat disegani dalam bukunya, al-Saydanah fi al-Tibb, al-Biruni mendefinasikan ahli farmasi (yakni al-Saydanani) sebagai seorang perofesional yang mengkhusus dalam pengumpulan semua ubat, memilih bahan atau sebatian yang terbaik, serta menyediakan ubat terbaik daripadanya mengikut kaedah dan teknik paling tepat seperti yang disyorkan oleh pakar dalam seni perawatan. Dengan demikian farmasi menjadi bebas daripada perubatan sebagai satu bidang kajian dan amalan. Selain itu farmasi berupaya berfungsi sebagai `alat' untuk membantu dalam penyembuhan, tetapi bukannya sebahagian daripada perubatan.
Sejajar dengan definasi ini, beliau juga menekankan tentang latihan serta pengalaman yang mendalam yang diperlukan supaya ahli farmasi itu betul-betul mahir dalam bidangnya sehinggakan tiada sesiapa yang boleh mengambil alih profesion mereka. Mengikut beliau, ahli perubatan mesti memajukan pengetahuan teori dan pengalaman, kemudian menyerahkannya kepada ahli farmasi berjiwa rakyak untuk mereka menjalankan khidmat profesional yang cemerlang.
Menurut Al-Biruni farmasi adalah satu seni untuk mengenali jenis, bentuk dan sifat fizikal bahan-bahan asas, serta seni mengetahui bagaimana membancuh untuk menjadikannya sebagai ubat mengikut preskripsi doktor. Ahli farmasi mesti berupaya mengganti atau mengenepikan satu ubat dengan yang lain. Namun, mengikut beliau, ilmu bagaimana ubat bertindak pada tubuh manusia, yakni farmakologi, adalah lebih penting daripada kemahiran membancuh ubat semata-mata. Tanpa ilmu ini, seseorang itu tidak akan dapat mencapai matlamat profesionalnya.
Al-Biruni mengkelaskan bahan-bahan yang dimakan kepada tiga bahagian iaitu:
- Bahan makanan yang disesuaikan kepada fungsi tubuh dan dihadam serta digunakan untuk mengganti apa yang telah hilang. Oleh itu, bahan makanan mula-mula sekali terjejas oleh tubuh dan kemudian menjejasnya untuk kebaikan sendiri (termasuk penyuburan badan).
- Bahan racun yang bertindak ke atas fungsi badan ke tahap paling tinggi dan menyebabkan penyakit atau kematian, bergantung kepada ketoksikan dan potensi racun tersebut, selain daripada ketahanan badan. Beliau menerangkan bahawa ahli toksikologi merupakan satu kelas profesional istimewa yang berupaya merawat pesakit dengan menggunakan bahan racun.
- Bahan ubat, terletak antara bahan makanan dan bahan racun, dan efikasi serta kelebihannya sebagai penyembuh bergantung kepada kepintaran, kemahiran dan keterampilan seorang doktor yang mempreskripsikannya. Oleh sebab itu, untuk merawat pesakit, doktor akan lebih gemar menggunakan bahan makanan. Jika ada keperluan, mereka menggunakan ubat asas. Mereka tidak menggunakan ubat bancuhan melainkan perlu.
No comments:
Post a Comment